Masalah kembung perut sememangnya suatu keadaan yang kerap berlaku pada bayi, terutama sekali mereka yang berumur kurang daripada 6 bulan. Oleh kerana ruang dalam abdomen ( abdominal cavity ) masih kecil berbanding dengan saiz organ dalam abdomen ( usus, perut, hati, limpa,pundi air kencing), abdomen bayi boleh kelihatan seolah-olah kembung walaupun sebenarnya normal.
Adakah kembung perut normal ?
Biasanya kita mengaitkan kembung perut dengan masalah ‘colic’, iaitu keadaan di mana bayi akan menangis untuk beberapa jam tanpa henti, kelihatan sangat tidak selesa tanpa sebab yang spesifik, dan kemudian akan kembali normal selepas itu. Ini berlaku untuk beberapa kali dalam seminggu dan semakin bayi membesar, kejadian ini semakin kurang, dan bayi membesar dan menyusu dengan baik. Sekiranya demikian, ibu-bapa tidak perlu gelisah mengenai masalah ini.
Sebab-sebab perut kembung:-
1) Cara menyusu dengan botol yang tidak betul – terlalu condong, saiz lubang botol yang tidak sesuai ( terlalu kecil) menyebabkan banyak udara ditelan dan menyebabkan perut kembung. Bayi juga seharusnya disendawakan ( burp the baby ) selepas menyusu.
2) Bayi menangis terlalu banyak, terlalu aktif kerana ‘overstimulation’ pada hari tertentu boleh menyebabkan kembung perut
3) Penghadaman susu yang kurang sesuai, menghasilkan banyak gas
Adakah urutan berkesan ?
A shot of a mother touching her baby son
Ini bergantung kepada sama ada bayi juga menangis dan kurang selesa semasa kembung perut. Urutan yang ringan pada bahagian belakang dan perut (gentle back and tummy rubs) dan teknik urutan seperti ‘infant massaging’ boleh membantu bayi relaks dan kembali selesa.
Masalah serius yang perlu dipertimbangkan
Namun, apabila berhadapan dengan bayi yang kembung perut, kita perlu memastikan ia bukan kerana disebabkan oleh masalah yang serius. Walaupun abdomen(perut) bayi adalah kelihatan kembung, ia sepatutnya lembut. Sekiranya rasa sangat kembung dan keras, ini kemungkinan besar menunjukkan masalah usus.
Kembung perut seperti ini adalah tidak normal, menunjukkan kulit yang bersinar, dan urat-urat darah jelas kelihatan
Kembung perut seperti ini adalah tidak normal, menunjukkan kulit yang bersinar, dan urat-urat darah jelas kelihatan
Pemeriksaan doktor yang teliti adalah penting untuk mengesan masalah-masalah seperti:-
1. Masalah usus tersumbat/terbelit ( intestinal obstruction ). Bayi juga muntah selalu, dan tidak buang air besar ataupun kentut untuk jangka masa yang lama
2. Masalah usus besar yang tidak dapat berfungsi dengan baik kerana masalah saraf (Hirschprung’s disease) – bayi juga sembelit dalam masalah ini
3. Alahan susu – sekiranya bayi adalah alahan kepada protein susu lembu ataupun laktosa (cow’s milk protein allergy / lactose intolerance), ia boleh menyebabkan kembung perut dan cirit-birit. Berat bayi juga tidak naik dan mengalami dehidrasi. Susu yang berdasarkan formula khas yang sesuai perlu dicari.
4. Masalah organ lain seperti hati yang bengkak, limpa yang bengkak, masalah buah pinggang, dan saluran air kencing boleh menyebabkan abdomen kelihatan kembung.
Cara-cara lain yang membantu semasa ‘colic’
1) Mendukung bayi anda semasa menangis, ataupun membedungkan dia dan diletakkan di dalam kot bayi, dalam suasana bilik yang sunyi dan gelap. Jangan keterlaluan merangsangkan bayi semasa menangis (overstimulate)
2) Ubatan seperti ‘simeticone drops’ dicampurkan dalam susu – menolong untuk membebaskan gas yang terhasil semasa penghadaman susu
3) Cara alternatif/tradisional – sapu minyak ‘essential oil’. Ada juga yang menggunakan ‘gripe water’ yang mengandungi sodium bikarbonat yang dipercayai boleh melegakan. Namun, ia masih dijual sebagai ubat tradisional yang tidak melalui kajian terperinci untuk membuktikan keberkesanannya. Ia tidak diiktiraf oleh FDA sebagai ubat khusus untuk ‘colic’.
4) Cuba tukar formula susu sekiranya syaki ada alahan susu
Kesimpulan
Sekiranya bayi membesar dan menyusu dengan normal walaupun kelihatan kembung perut, ia biasanya bukan sesuatu yang perlu dirisaukan dan terdapat cara-cara untuk mengatasinya. Masalah ini sepatutnya akan hilang apabila bayi semakin membesar.
Namun, adalah sangat penting kita tidak terlewat mendapatkan perhatian doktor sekiranya masalah kembung perut adalah disebabkan oleh penyakit yang serius.
Tanda-tanda yang merisaukan adalah seperti kurang berat badan, muntah-muntah, cirit-birit, najis berdarah, perut kembung sehingga sangat keras dan bayi kelihatan sangat lemah dan tidak sihat.
sumber: http://doktorbudak.com/2013/11/16/anak-saya-kembung-perut/
No comments:
Post a Comment